Friday, May 7, 2010

Parlimen Tergantung di UK


Setelah hampir semua 650 kerusi diisytiharkan, Parti Konservatif memperolehi 306 kerusi, Parti Buruh 258, manakala Parti Liberal Demokrat mendapat 57 kerusi. (Satu kerusi yang belum diisytiharkan melibatkan seorang calon meninggal dunia dan tarikh mengundi pada 27 Mei. )  Pilihanraya itu menghasilkan parlimen tergantung.  Kali terakhir keadaan seperti itu berlaku di UK ialah tahun 1974.


Untuk memperolehi majoriti mutlak sesebuah parti perlu menang 326 kerusi, iaitu 1 lebih daripada seperdua jumlah 650 kerusi.  Walaupun Konservatif mendapat kerusi terbanyak, namun ia gagal mendapatkan majoriti mutlak.  Oleh kerana Parti Buruh yang sedang memerintah tidak mengaku kalah, ia akan diberi peluang untuk menubuhkan kerajaan melalui gabungan dengan parti-parti kecil. Jika digabung dengan  Lib Dem, Buruh masih kekurangan 11 kerusi untuk mencapai majoriti. Oleh itu Buruh perlu mendapatkan sokongan parti-parti kecil yang lain. Keadaan tidak kelihatan selesa bagi Buruh kerana taburan kerusi yang lain adalah seperti berikut:  Scottish National Party 6, Plaid Cymru 3, parti-parti kecil yang lain 19.
,.
Sekiranya Buruh gagal untuk membentuk kerajaan atau undi tidak percaya dibawa di Parlimen, maka Parti Konservatif boleh mengambil alih dengan satu daripada dua cara.


Cara pertama ialah bergabung dengan parti lain untuk menerbitkan majoriti mutlak.  Parti Konservatif ada beberapa pilihan.  Yang paling menarik ialah menawarkan kepada Lib Dem yang mempunyai 57 kerusi untuk bergabung supaya jumlah kerusi ialah 362, iaitu dengan majoriti yang cukup selesa.  Oleh kerana Lib Dem lemah berbanding Konservatif, maka Konservatif mempunyai kelebihan dari segi pembuatan keputusan dalam kerajaan campuran yang bakal dibentuk.  Pemimpin Konservatif David Cameron telah pun membuat tawaran itu kepada Lib Dem.


Cara kedua ialah dengan Parti Konservatif membentuk kerajaan minoriti; ia boleh memerintah kerana telah memperolehi kerusi terbanyak antara parti-parti yang ada.  Namun begitu, kesukaran mungkin dihadapi di Parlimen dalam meluluskan rang undang-undang.


Satucara lain ialah mengadakan pilihanraya baru - jika kemelut politik berpanjangan dan tidak dapat diselesaikan.


Tunggu dan lihat ,,,












    No comments: