1. Sebagai bekas tanah jajah Britain, Malaysia dan Britain ada kesamaannya.
2. Sistem politik Malaysia diubahsuai daripada sistem Westminster Britain semasa Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, tetapi kesamaannya berakhir di situ.
3. Walaupun sistem pilihanrayanya sama seperti Malaysia, iaitu sistem 'first-past-the-post' (bukan 'proportional reperesentation' seperti yang diamalkan di Indonesia), Britain berjaya mengamalkan sistem dua-parti, seperti juga AS.
4. Dengan wujudnya dua parti yang hampir sama kuat, proses 'checks-and-balances' berlaku. Parti yang sedang memerintah sentiasa diawasi dalam tindak tanduknya oleh parti pembangkang. 'Question Time', dengan Perdana Menterinya diserang bertalu-talu, di House of Commons menjadi tontonan rakyat Britain.
5. Di Malaysia, parti kedua yang kuat, tidak ada. Walaupun Pakatan Rakyat cuba diwujudkan sebagai parti alternatif kepada BN sejak Mac 2008, namun ia belum cukup kuat dan sentiasa tergugat dari segi kewujudannya.
6. Yang jelas sebelum 2008 Malaysia mengamalkan sistem satu-parti. Kemunculan parti yang kuat 'diuruskan' dengan penelanannya ke dalam BN yang perkasa itu, seperti yang disaksikan besar-besaran pasca PRU 1969.
7. Di Britain, sistem dua-parti hidup dengan subur sekali, dengan Parti Buruh dan Konservatif menerajui kerajaan silih berganti.
8. Walaupun wujud parti ketiga, iaitu Liberal, di Britain, ia tidak pernah dilihat sebagai menggugat status quo, malah ia dianggap persis parti nyamuk.
9. Kini semuanya kelihatan akan berubah. Yang menjadi pencetus kepada perubahan itu ialah siri debat television tiga pemimpin parti, PM Gordon Brown, 59 tahun, (Buruh), David Cameron 43 (Konservatif), dan Nick Clegg 43 (Liberal), yang diadakan menjelang pilihanraya umum pada 6 Mei 2010.
10. Prestasi Clegg sungguh menyinar, melebihi Cameron yang tidak kurang karismanya, dan mengalahkan Brown yang tercalar kewibawaannya dengan ungkapan 'bigoted' terhadap seorang wanita Buruh (di hadapan mikrofon yang belum ditutup tanpa disedarinya).
11. Bila tiba 6 Mei, kita mungkin menyaksikan penghuni baru di 10 Downing Street, atau setidak-tidaknya Parti Liberal meragut kerusi yang banyak, sekaligus mentransformasikan politik Britain kepada sistem 3-parti.
12. Apa yang ditakuti ialah pilihanraya 6 Mei bakal melahirkan parlimen tergantung.
No comments:
Post a Comment