Saturday, April 17, 2010

Lawatan Najib ke AS


Najib baru sahaja menamatkan lawatan ke Amerika Syarikat.  Satu program yang penting bagi PM yang baru melepasi tahun pertamanya.  Lawatan yang memakan masa yang panjang itu tentu menggunakan banyak wang negara - yang dikumpul dari pembayar cukai dan khazanah negara.  Rakyat berhak menilai manfaat yang diperolehi daripada lawatan itu.
1.  Sejak mula lagi, lawatan itu dicemar dengan imej ia tidak mewakili satu Malaysia, tetapi hanya mewakili dirinya, UMNO, dan BN.  Ini disebabkan tindakannya membawa bersama 2 Ahli Parlimen Bebas, sekaligus meminggir AP dari Pakatan Rakyat- yang turut dimenangkan rakyat 1Malaysia.
2.  Perlantikan Jamaluddin Jarjis (JJ) sebagai Duta ke AS pun diseliputi pelbagai isu asas:  Berkesankah seorang diplomat untuk mewakil satu Malaysia apabila dia masih seorang Ahli Parlimen BN?  Rekodnya pun menunjukkan ia memperjuangkan kepentingan BN dan Najib lebih daripada kepentingan Malaysia.
3.  Keprihatinan AS sendiri terhadap poerlantikan JJ bukan satu rahsia lagi.  APCO - syarikat yang telah menjadi kontroversi itu - dilantik antara lain membantu JJ membina hubungan dengan pentadbiran AS.  Ini ironis sekali; diplomat dilantik sepatutnya atas kebolehannya untuk berinteraksi secara positif (diplomatik) dengan pihak kedua, tanpa bantuan pihak ketiga.  Jelasnya, JJ satu liabiliti bagi negara Malaysia.
4.  JJ sendiri kurang arif tentang selok-belok politik di AS - atau sengaja dia tidak ambil peduli.
5.  Di AS, peranan pemerintah (spesifiknya, Rumah Putih) sangat kecil berbanding negara lain.  Tapak-tapak kuasa telah beralih kepada Dewan Senat, Kongres, Pelobi, NGO, dan ahli perniagaan.  Tapak-tapak ini perlu didampingi untuk memulakan langkah hubungan strategik.
6.  Oleh itu, bersua dengan Obama selama 40 minit di hadapan kamera, walaupun mendapat impak publisiti, tidak boleh dikatakan berkesan.
7.  Pada hemat saya, JJ tidak menjalankan tugasnya dengan baik setahun menjelang lawatan Najib.  Najib masih perlu menggunakan khidmat perunding PR untuk menyusun dan menggerakkan itinerarinya di Washington dan New York.
8.  Prestasi Najib semasa di AS tidak dapat dibanggakan.  Imej yang ditonjolkan ialah seakan-akan Malaysia tidak memiliki Dasar Luar yang tegar.  Najib menuturkan apa sahaja yang dapat memikat hati Washington, dari isu Nuklear, dasar terhadap Iran, sehinggalah dasar pelaburan asing, menegaskan semula persongkolannya dengan syarikat pro-Zionis, Coca-Cola.
9. Dasar Luar negara kelihatan berkecamuk dengan lawatan ini;  Malaysia tidak mengiktiraf Israel tetapi turut memperjuangkan dasar-dasar zalim negara itu. Kelihatan Malaysia bersedia menurut telunjuk AS dalam menentukan dasar luarnya.
10.Aneh sekali, Najib turut menggunakan forum luar negara untuk memacu agenda dalam negara, seakan-akan Malaysia sudah menjadi negara protektorat AS: Dia berkata dirinya telah bersedia untuk membuat keputusan yang sukar dalam isu dalaman.
11.Lantas dia memberi amaran kepada musuh politiknya di dalam negara, meminjam akas ungkapan samseng  pengawal penjara dalam filem Once Flew Over The Cuckoo's Nest yang menjadi lagu Billy Ocean  'When the Going Gets Tough, The Tough Gets Going'.
12.Gambaran yang dipamerkan Najib di Washington dan New York, ia seorang diktator: di tangannya terletak segala dasar dan keputusan.
13.Rakyat Malaysia akan memerhatikan gelagat Najib sekembalinya dari luar negara.  Bagaimanakah dia akan menggunakan imej yang baru diperolehinya - kekuatan atau kelemahan bergantung pada sudut memandang - untuk mengarahkan arus politik di negara.

No comments: