Sunday, November 29, 2009

BN Atau BTN?

Rakyat Malaysia dahagakan kejujuran - daripada pemimpin mereka.  Rakyat Malaysia mahu menghormati pemimpin mereka, tetapi terlalu kerap mereka digagalkan, malah dikhianati. Tanda rakyat Malaysia dahagakan kejujuran dapat dilihat di sana sini; PRU12 hanya satu daripadanya.  Keupayaan menbaca isyarat yang diberikan rakyat Malaysia sangat penting untuk kejayaan sebuah gagasan politik, dan kestabilan negara.
1.  Tun Abdullah telah berjaya menyambut dan meraikan kehendak rakyat Malaysia, tetapi puak yang dominan dalam parti pemerintah menggerakkan upaya menggagalkannya.
2.  Usaha Abdullah digambarkan sebagai politik pemimpin yang lemah; akhirnya Abdullah terpaksa dan dipaksa mengundurkan diri, dengan beberapa projek jujur yang terbengkalai.
3.  Kini Dato Seri Najib kelihatan ingin mengembalikan suasana tanah air ke era pra-Abdullah, kepada zaman Tun Mahathir, setidak-tidaknya zaman ayahnya, Allahyarham Tun Razak.
4.  Itulah 'Good Old Days ...' yang dicitakan Najib; rakyat terima apa sahaja tanpa banyak soal.
5. Ternyata 'Good, Old Days' tidak cukup baik untuk rakyat Malaysia kini; Najib juga faham hal ini.
6.  Maka 1Malaysia dilaungkan, tetapi tidak nampak kejujuran dalam pelaksanaannya.
7. 1Malaysia pantas hilang wibawanya jika dolak dalik berterusan, separa-kebenaran diperjuangkan dan kebatilan dibanteras secara kecil-kecilan dan secara terpilih.
8.  Rakyat Malaysia sedang memerhatikan arah tuju 1Malaysia; mereka mahukan ia dilaksanakan secara jujur, bukan satu helah politik sahaja.
9.  1Malaysia harus dilaksanakan dalam realiti semasa, bukan dalam vakum; ia mesti mantap dan bersedia menerima ujian.
10. Ujian semasa yang harus dilalui 1Malaysia ialah isu BTN.
11.  Setakat ini dolak dalik yang keluar dari pentadbiran Najib amat berserabut, mengelirukan, dan menghampakan rakyat.
12.  BTN bukan dilema bagi Najib seperti yang tertera dalam beberapa media; BTN satu persoalan yang penghuraiannya amat jelas berlatarkan 1Malaysia: ia mesti dihapuskan secara langsung dan total, bukan dijelmakan dalam bentuk lain.
13.  Najib harus membuat pilihan:  BN atau BTN.

No comments: