Monday, November 30, 2009

Sistem Dua Parti untuk Kestabilan Politik

Sehingga Mac 2008, Malaysia sebenarnya mengamalkan sistem satu parti. Sama ada rakyat suka atau tidak, mereka akan pilih BN untuk memerintah negara. Tiada pilihan lain. Benar wujud banyak parti politik. Tetapi selain BN semuanya kecil, lemah, kerap dicantas sebelum dapat berdiri teguh, atau ditelan oleh BN yang gagah perkasa itu. Ketiadaan parti kedua yang cukup gagah boleh menjuruskan negara kepada kehuruharaaan apabila rakyat tidak puas hati dengan prestasi BN, sedangkan tiada jalan yang sah di segi undang-undang untuk menyuarakannya.
1.  Jika pemerintah benar-benar sayangkan negara, ia tidak akan membiarkan keadaan ini berterusan.
2.  Membenarkan parti kedua wujud tidak bermakna membubarkan parti yang memerintah.
3.  Dalam sejarah amalan demokrasi, parti yang memrintah silih berganti.
4.  Di Amerika Syarikat, Republikan yang digegarkan skandal Watergate dan Perang Vietnam pada 1970'an kembali memerintah untuk 3 penggal bermula Reagan dan kemudiannya Bush Sr.  Kemudian Parti Demokrat kembali memerintah untuk 2 penggal untuk dijatuhkan oleh Republikan sekali lagi.  Setelah 2 penggal, kini Demokrat dengan ketuanya berkulit hitam menjadi Presiden.
5.  Di UK, pertukaran juga berlaku.  Perdana Menteri 'Wanita Besi' dari Parti Konservatif memerintah untuk sekian lama, untuk digantikan oleh Tony Blair dari Parti Buruh.  Kini Parti Buruh masih memerintah UK.
6.  Setiap parti politik akan mengalami masalah dalaman yang akan terjelma kepada berbagai kepincangan luaran.  Parti itu perlu dibenarkan tempoh berehat dan pemulihan semula melalui proses yang dinamakan  'reengineering'.  Parti lain yang mempunyai kekuatan semasa yang tinggi harus diberi peluang mengambil alih.
7.  Proses silih berganti inilah yang bertindak menyegarkan sistem demokrasi persis silih berganti malam dan siang.  Proses ini juga memantapkan cabang-cabang lain dalam pentadbiran negara - Kehakiman, penjawat awam, Polis dan Tentera - supaya dapat menjalankan tugas tidak kira parti mana yang memerintah.
8.  Sejak Mac 2008, telah muncul suatu golongan yang mempunyai kemampuan untuk membentuk parti kedua untuk menandingi BN.  Ini patut dialukan, dibaja dan diberi galakan yang sewajarnya.
9.  Semuanya itu untuk kepentingan jangka panjang negara Malaysia.
10.  Malangnya itu tidak berlaku; usaha yang sistematik dihalakan ke arah menjahanamkan parti yang masih dalam tunasan itu.
11.  Usaha membanteras melalui pelbagai cara:  Kerjaaan dalam kerajaan, tindak polis dan SPRM secara terpilih, dan yang paling berbahaya propapanda hitam melalui media perdana.
12.  Politik diwarnai oleh persepsi masyarakat.  Kini kebenaran digambarkan sebagai kebatilan, dan sebaliknya kebatilan itu kebenaran.
13.  Rakyat menyeru BN supaya menggunakan kewarasan yang masih ada untuk membantu merealisasikan masa depan yang aman, makmur dan harmoni bagi Malaysia.  Meminjam ungkapan Orang Putih 'Leave PR alone!'
14.  [Jika BTN mesti diteruskan inilah sepatutnya menjadi objektif teras bagnya!]

No comments: