Tatkala PM Najib mengambil alih tampuk pemerintahan daripada PM Abdullah Ahmad Badawi, dia melancarkan gagasan 1Malaysia dengan slogan '1Malaysia Pencapaian Diutamakan'. Sejak hari itu '1Malaysia' merupakan slogan yang menanti dipenuhi makna. Pada hemat saya, walaupun 1Malaysia merupakan sebahagian strategi Najib dalam usaha mengembalikan sokongan rakyat Malaysia terhadap BN, isi atau substans 1Malaysia masih belum ditanggapi sepenuhnya oleh pasukan think-tank yang merangkanya.
1. 1Malaysia sengaja dibiarkan begitu sahaja tanpa takrif yang jelas untuk beberapa ketika. Ini membolehkan Najib mengukur sambutan dan tanggapan rakyat Malaysia terhadapnya. Kesamaran (vagueness) dan ambiguiti disengajakan sebab Najib sendiri tidak begitu pasti apakah makna yang seharusnya diisikan ke dalam istilah 1Malaysia itu.
2. Berbagai pihak menyatakan pandangan masing-masing terhadap konsep 1Malaysia. Adakah ia sama maknanya dengan 'Malaysian Malaysia' seperti yang cuba ditonjolkan oleh DAP?
3. Sementara ia belum ditakrifkan dengan jelas, memang ada sebahagian rakyat Malaysia yang beranggapan demikian, dan jikapun ia bukan maksud sebenar, mereka mengimpikan bahawa 1Malaysia akan akhirnya berjaya dibawa ke situ.
4. Sebahagian yang lain meronta-ronta tidak ingin 1Malaysia itu penjelmaan semula Malaysian Malaysia.
5. Dua puak yang ekstrim ini dibiarkan berhujah dan secara tidak langsung memberi maklum balas sehingga Najib (dan think-tanknya) dapat menumpu kepada satu jawapan yang sesuai.
6. Ahli politik perlu bijak bermain dengan kata-kata. Kata-kata yang mempunyai maksud berlainan kepada pihak berlainan itu adalah lebih digemari daripada kata-kata yang membawa maksud persis hitam-putih.
7. Menangguh membuat keputusan (Buying time) itu juga satu cara berpolitik. Cara itu dapat memfokuskan perhatian umum kepada sesuatu yang ingin dibawa. Apabila akhirnya keputusan dibuat, setelah mengambil kira pros dan con serta yang berada di tengah-tengah keduanya, keputusan itu dapat disambut dengan meriahnya.
8. Dalam tempoh 'time buying' itu, 1Malaysia dikatakan membawa maksud bahawa semua rakyat Malaysia mendapat tempat di bumi Malaysia'. Makna ini juga penuh kesamaran dan ambiguiti. Tetapi ia mencapai tujuannya: semua orang boleh mentafsirkan menurut selera masing-masing.
9. Akhirnya, dalam pelancaran 1Malaysia di Stadium Ipoh pada pertengahan Oktober 2009, Najib menggariskan skop dan batas pada konsep 1Malaysia: 1Malaysia bukan bermaksud hak sama rata antara kaum. Semua bangsa akan mendapat hak yang adil masing-masing.
10. Dalam satu nada, Najib telah menurunkan gagasan 1Malaysia kepada slogan kosong. Siapakah yang akan menentukan hak yang adil itu? Adakah ia akan mengikut selera BN? Selama inipun UMNO yang dikatakan memperjuangkan hak orang Melayu telah menggagalkan orang Melayu, sebaliknya mweujudkan satu kumpulan baru yang dikenali sebagai 'Umnoputra'.
11. Sejak kemerdekaan Negara, Perikatan dan BN telah mentakrifkan segala-galanya. Kebenaran/kebatilan dan baik/buruk ditakrifkan oleh parti pemerintah itu. Kini kita bertanya apakah yang telah berubah?
12. Yang jelas 1Malaysia mempunyai satu dimensi tersendiri: ia satu strategi untuk membawa kembali semua pentadbiran negeri ke bawah satu pemerintahan federal yang sama.
13. Menjelang PRU13, rakyat Malaysia akan mempastikan kejayaan 1Malaysia melalui peti undi. 1Malaysia akan menjadi realiti; hanya yang kurang jelas parti manakah yang akan menerajui Kerajaan 1Malaysia pasca PRU13 - BN atau PR?
No comments:
Post a Comment