Saturday, February 13, 2010

Untung Rugi Bangsa Melayu


Bangsa Cina dan India memiliki tanah ibunda masing-masing di mana mereka dapat menagih inspirasi.  Tidak seperti bangsa Cina dan India, orang Melayu di Malaysia tidak ada tanah ibunda lain.  Inilah tanah air ibunda mereka - Malaysia dan Indonesia.  Apa yang berlaku di dua negara - rantau Nusantara -kelak memberi kesan yang merambat untuk generasi masa depan.
1.  Budaya Cina dan India mungkin tidak dapat dikembangkan dengan sebaiknya di Malaysia.
2.  Namun dua bangsa itu masing-masing mempunyai talian hayat dengan negara China dan India.
3.  Budaya Cina dan India berkembang dengan begitu subur di masing-masing negara.
4.  Orang Cina dan India di Malaysia hanya perlu 'connect' dengan negara besar masing-masing untuk sumber pelbagai unsur budaya.
5.  Sebagai contoh, bahasa Cina berkembang di tanah besar China (tanpa membezakan sempadan politik seperti Taiwan dan Hong Kong.)
6.  Walaupun masa depan orang Cina dan India di Malaysia terkesan dengan perkembangan politik negara, mereka tidak perlu bimbang bahawa satu hari budaya mereka akan terhakis.
7.  Tidak begitu dengan bangsa Melayu.
8.  Budaya Melayu hanya dapat dikembangkan di rantau ini.
9.  Dengan politik memainkan peranan dominan di Malaysia (dan Indonesia) budaya orang Melayu pasti akan terjejas.
10. Budaya Melayu di negara kita tidak dapat dipisahkan dengan politik.
11. Sebagai contoh, usaha menyeragamkan pertuturan dalam Bahasa Melayu digagalkan dengan tindakan politik Tun Dr Mahathir.
12.  Sedekad lalu, kerajaan mengarahkan supaya sebutan baku dibekukan.
13.  Kini orang Melayu bertutur dengan berbagai ragam; hanya orang Melayu Singapura yang tidak memeliki kuasa politik di negara mereka masih mengekalkan penggunaan baku.
14. Kesannya amat besar:  semua usaha yang dijalankan pada dekad 70-80'an menyeragamkan bahasa antara rumpun Melayu di Malaysia, Indonesia dan Brunei (seperti digarap MABBIM) telah menemui jalan buntu.
15.Jika dulunya kita boleh mengambil buku terbitan Indonesia dan membacanya dengan selesa, kini kita memerlukan terjemahan ke dalam Bahasa Melayu.
16.Kini juga lebih selamat bernicara dengan rakan Indonesia dalam bahasa Inggeris daripada cuba mengadun Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia.
17.Contoh kedua ialah ketetapan kerajaan bahawa mata pelajaran Matematik dan Sains dipelajari dalam Bahasa Inggeris.
18.Bahasa boleh berkembang hanya dengan penggunaan yang aktif, praktikal dan meluas.  Jika sesuatu bahasa tidak digunakan ebagai medium wacana yang penting, bahasa itu akan menjadi bahasa untuk kegiatan harian yang remeh sahaja.  Bahasa itu akan hilang fungsinya yang penting dan akan jadi tidak relevan lagi.
19. Bahasa Melayu tidak akan dapat berkembang sebab ia telah dinyahkan dari medannya yang penting.
20. Nasib yang sama mungkin menimpa unsur budaya Melayu yang lain.
21. Untung rugi bangsa Melayu terletak pada kekuatan menyisih kepentingan bangsa daripada pengaruh politik.
22. Untuk maju, orang Melayu perlu lebih yakin dengan budaya mereka dan perlu bertegas mempertahankannya apabila berdepan dengan serangan dari kuasa politik.
23. Bahasa tidak dapat berkembang dalam suasana yang penuh dengan batasan yang artificial seperti undang-undang negara.

No comments: